Pengikut

Kem PLKN Mesapol on FaceBook

Rabu, 11 Julai 2012

Wirajaya Kump. 2 Siri 9 2012

Isnin, 09 Julai 2012, Latihan Wirajaya bagi Kem PLKN Mesapol telah berlangsung bermula pada jam 8.00 pagi dimana semua pelatih yang lengkap berpakaian celoreng beserta alat kelengkapan yang dibekalkan berkumpul terlebih dahulu di padang kawad bagi melapor jumlah kekuatan kepada Ketua Jurulatih.


 Latihan dimulakan dengan pergerakan masuk ke pangkalan oleh semua pelatih. Pelatih sebelum itu dikehendaki mencari sendiri kawasan pangkalan dengan membaca kompas dan mengikut petunjuk yang telah diberikan.


Setibanya dipangkalan yang terletak berhampiran dengan tapak latihan aktiviti merentas halangan, pelatih dikehendaki memasang khemah mengikut kompeni masing-masing. 


Misi seterusnya dilaksanakan pada jam 2.00 petang dimana setiap kompeni perlu menghantar 30 orang wakil bagi menyelesaikan Misi Mencari Harta Karun.

Selesai misi tersebut, pelatih turut menjayakan Misi Menyelamat dimana pelatih perlu mencari mangsa yang cedera dan perlu mempraktikan teori pertolongan cemas terhadap mangsa mengikut jenis kecederaan yang dikenalpasti.

Pada jam 5.00 petang, aktiviti Blind Walk turut dijalankan dimana kerjasama dan strategi pelatih bagi menjayakan misi ini adalah amat diperlukan.

Setelah penat melaksanakan beberapa misi, suasana malam di pangkalan bertukar ceria dan meriah tatkala pertandingan War Dance diumumkan. Pertandingan ini disaksikan sendiri oleh Komandan kem, Mej. Mohd Fadzil Bin Hj. Ngadiman bersama-sama Timbalan Komandan (Pengurusan) dan Timbalan Komandan (Latihan). 

Kreativiti setiap pelatih bagi mempersembahkan tarian mereka sangat memukau para penonton. Setiap kompeni kelihatan bersungguh-sungguh menunjukkan kebolehan mereka bagi menarik perhatian juri.

Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Komandan dimana pemenang bagi setiap misi yang telah dilaksanakan pada siang itu diumumkan. Berikut adalah pemenang bagi setiap misi yang dilaksanakan.
  1. Misi Mencari Harta Karun – Kompeni Alpha
  2. Misi Menyelamat – Kompeni Bravo (kategori Wira dan Wirawati)
  3. Blind Walk – Kompeni Bravo
  4. War Dance – Kompeni Charlie (kategori Wira) , Kompeni Alpha (kategori Wirawati)

Hujan turun agak lebat sebaik acara penyampaian hadiah dilakukan. Keadaan ini mengakibatkan kesemua khemah basah dimasuki air dan beberapa buah khemah runtuh. Setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan pelatih, Komandan membuat keputusan menamatkan latihan Wirajaya pada jam 2.00 pagi. Semua pelatih diminta mengemas semua peralatan dan bergerak balik ke asrama masing-masing untuk tidur dan berehat.

Secara kesimpulannya, latihan Wirajaya ini bukan sahaja telah menguji ilmu teori yang dipelajari semasa berada di dalam kelas malah pelatih juga diuji dengan kekuatan mental bagi menghadapi detik-detik ketidakselesaan ketika berada di dalam hutan bagi meneruskan hidup. Harapan semua jurulatih adalah agar semua pelatih mampu mempraktikkan semua ilmu yang telah dipelajari setelah tamat Program Latihan Khidmat Negara ini nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan