Pengikut

Kem PLKN Mesapol on FaceBook

Sekapur Sirih Komandan

                                               SEKAPUR SIRIH DARI KOMANDAN

Bismilahir Rahmanir Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Alhamdullilah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana Kem PLKN Mesapol, Sipitang, Sabah telah dapat merealisasikan sebuah weblog untuk tatapan semua warganya dan rakan maya lainnya. Selain daripada bertujuan untuk menjadi bahan bacaan informasi dan hiburan online, weblog ini juga merupakan satu catatan maya secara bertulis dan bergambar sejarah kem ini sejak ianya ditubuhkan mulai Mei 2011. Saya yakin setiap warga kem dalam kem ini dan juga mereka yang pernah berkhidmat dalam kem ini samada staf, jurulatih dan pelatih tentu akan merasa bangga atas wujudnya weblog ini kerana ini merupakan satu kejayaan kepada Kem PLKN Mesapol ini.

Sempena wujudnya wadah weblog ini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada semua warga kem ini bahawa adalah penting bagi semua warga dalam kem ini memelihara dan mematuhi segala peraturan-peraturan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Perintah Tetap Kem PLKN kem ini serta berbangga tentang wujudnya garispanduan dan peraturan itu kerana garis panduan dan peraturan itu merupakan satu sumber rujukan dalam menjalankan tugas dalam kem ini.

Dengan terbitnya weblog ini maka sebahagian aktiviti kem ini dalam bidang tertentu dapat dicatatkan dan direkodkan secara maya untuk pengetahuan dan kenangan kita di masa akan datang. Di samping itu juga warga kem dan bekas staf/jurulatih/pelatih kem ini berpeluang untuk menyalurkan kenangannya di sini dalam bidang penulisan maya. Kebolehan menulis ini sangatlah penting terutamanya di kalangan warga kem ini supaya ramai warga dan bekas warga kem ini dapat merakamkan pengalaman mereka untuk bacaan orang ramai. Kepada bekas pelatih-pelatih PLKN Mesapol, marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu keatas kem ini dan JLKN, Kementah dengan mendaftarkan diri sebagai Alumni PLKN melalui borang yang telah disediakan disini. Semua warga kem ini dan rakan-rakan maya lain dialu-alukan untuk menjadi rakan facebook Kem PLKN Mesapol disini atau di https://www.facebook.com/plknmesapol. Berbicaralah dengan sihat, secara positif dan beretika.

Mengambil kesempatan ini saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada ICT Team weblog ini dan sumbangan semua warga lainnya bagi menjayakan dan merealisasikan weblog ini. Akhir kata, saya berdoa kepada kepada Allah Subhanahu Wataala agar kem ini akan terus melahirkan warga belia remaja yang benar-benar mempunyai jati diri yang tinggi, mempunyai semangat dan pemikiran positif serta menjadi warganegara yang sayangkan Negara seterusnya menyumbang kepada kemakmuran, keamanan dan membangunkan Negara melalui acuan tersendiri di masa akan datang.  Maka tidak syak lagi Kem PLKN Mesapol, Sipitang ini akan mencapai cita-cita murni untuk agama, bangsa dan Negara sebagaimana yang digariskan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara. Sekian, terima kasih.

‘SATU HASRAT, SATU SEMANGAT, SATU TEKAD’



MEJAR MOHD FADZIL BIN HJ NGADIMAN
Komandan

Emel: komandan_mesapol@khidmatnegara.gov.my