Walaupun latihan Kumpulan 2 Siri 9 / 2012 telah melabuhkan tirainya, masih ada sesuatu yang menarik ingin kami kongsikan kepada pembaca tentang keunikan Kumpulan 2 yang lepas. Buat julung-julung kalinya, Kem PLKN Mesapol telah menerima pelatih pasangan kembar untuk sama-sama menjalani Latihan Khidmat Negara selama 3 bulan ini. Mereka adalah Leong Vui Ping dan Leong Vui Tshin.
Entri kali ini akan mengupas pasangan kembar yang lebih mesra dengan panggilan Ping ping dan Chin chin.
Pasangan kembar ini dilahirkan pada 8 Ogos 1994 di Hospital Lama, Keningau Sabah. Kelahiran Chin chin adalah lewat 5 minit selepas Ping ping. Mereka berdua juga merupakan anak bongsu daripada 7 orang adik-beradik. Walaupun memiliki iras rupa yang sama, namun pasangan kembar ini boleh dibezakan dengan rupa yang mana Ping ping kelihatan agak kurus sedikit berbanding Chin chin.
Pasangan kembar ini gemar melukis, menonton tv, bermain alat muzik, fotografi dan berbasikal. Disebabkan mereka berdua gemar pada fotografi hasil dari dorongan bapa yang memiliki kedai fotografi sendiri, mereka turut memilih untuk menajdi jurugambar professional pada suatu hari nanti. Walaubagaimanapun, Chin chin turut menyatakan hasratnya untuk menjadi arkitek.
Menyentuh tentang peribadi mereka di sekolah, Ping ping menyatakan dia lebih berminat dalam bidang akaun dan seni manakala Chin chin gemar pada sains dan seni. Selain itu penglibatan mereka di sekolah juga amat aktif dimana Ping ping menyandang jawatan sebagai Pengerusi Pendidikan Seni, Bendahari Kelas dan Setiausaha Pancaragam. Manakala Chin chin menyandang jawatan sebagai Ketua Pengawas, Pengerusi Persatuan Sains dan Matematik serta Setiausaha Pancaragam.
Semasa ditemubual oleh Cikgu Yulie, Ping ping menyatakan bahawa mereka berdua sering berbincang mengenai pelajaran, berkongsi pengalaman dan aktiviti yang ingin dilakukan bersama. Selain itu, mereka juga mempunyai sikap suka menolong orang, rajin, menghormati orang tua dan tidak suka menangguhkan kerja.
Penglibatan mereka sebagai Wirawati juga tidak dapat dinafikan apabila Ping ping dilantik menjadi ketua dorm Wirawati kompeni Delta manakala Chin chin menyandang sebagai ketua Wirawati kompeni Alpha. Berdasarkan pemerhatian kebanyakan jurulatih, pasangan kembar ini dilihat sebagai antara pelatih yang menunjukkan komitmen yang amat membanggakan sepanjang latihan.
Apabila ditanya berkenaan kejayaan Chin chin sebagai pelatih terbaik, Ping ping menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan adik kembarnya. Ping ping juga tidak menafikan kebolehan Chin chin memimpin semasa dirumah.
Sesungguhnya kehadiran pasangan kembar ini di Kem PLKN Mesapol sangat mengembirakan semua pihak. Selain dikenali dengan sifat mereka suka tersenyum dan suka membantu, komitmen mereka juga sentiasa menjadi sebutan barisan jurulatih. Doa kami semoga pasangan kembar ini terus berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan