Pengikut

Kem PLKN Mesapol on FaceBook

Isnin, 16 Julai 2012

Perbarisan Tamat Latihan Kump. 2 Siri 9 / 2012

Setelah berhempas pulas menjalani latihan yang padat, akhirnya pelatih tersenyum puas sambil ada yang menitiskan air mata terharu semasa Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung pada 13 Julai 2012 lepas. Hari bersejarah bagi pelatih Kem PLKN Mesapol, Kumpulan 2 Siri 9/2012 diadakan di padang kawad yang dihadiri oleh semua jurulatih, staf pengurusan dan jemputan khas.

Acara dimulakan pada jam 8.00 pagi sebaik ketibaan Komandan Kem, Mej. Mohd Fadzil Bin Hj. Ngadiman yang disambut oleh Timbalan Komandan Pengurusan (TKP).


 Lagu Negaraku dan Lagu Khidmat Negara kedengaran dinyanyikan penuh bersemangat oleh semua pelatih. Seterusnya, upacara pemeriksaan perbarisan dilakukan oleh Komandan yang diiringi oleh TKP.


Ucapan ringkas oleh Komandan menyatakan rasa bangga beliau terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh pelatih sepanjang tempoh 3 bulan menjalani latihan di kem ini. Tambah beliau lagi, diharap semua pelatih mendapat kesan dan impak positif daripada latihan yang telah dijalani tersebut.


Kumpulan 2 kali ini menyaksikan Wira Mohd Al-Rakieb Bin Abdul Said dan Wirawati Leong Vui Tshin masing-masing dianugerahkan sebagai pelatih terbaik Wira dan Wirawati. (Ikuti secara ringkas latar belakang kedua pelatih ini untuk entri akan datang). Manakala Kompeni Bravo telah dinobatkan sebagai kompeni terbaik.


Kelihatan beberapa orang pelatih menitiskan air mata sebaik bendera Khidmat Negara diturunkan yang diiringi oleh lagu Standing In The Ice. Ternyata Latihan Khidmat Negara benar-benar memberi kesan yang mendalam dan pengalaman tidak ternilai di dalam diri setiap peserta.


Sebagai penyeri upacara tamat latihan ini, persembahan Tarian Perang, Kawad Senyap dan Tempur Tanpa Senjata (TTS) dipersembahkankan oleh beberapa kumpulan yang terdiri dikalangan pelatih. Kesemua persembahan ini mendapat latihan dan tunjuk ajar daripada Jurulatih Fizikal.


Upacara tamat latihan selesai pada jam 10.00 pagi dan diakhiri dengan jamuan minum pagi bersama-sama di dewan makan. Persembahan Tarian Sumazau Penampang ditarikan oleh pelatih Kompeni Alpha yang memenangi pertandingan tarian tradisional pada sambutan Pesta Kaamatan yang lepas.


* Lagi gambar-gambar semasa Perbarisan Tamat Latihan Bagi Kump 2 Siri 9/2012 disini

1 ulasan: