Pengikut

Kem PLKN Mesapol on FaceBook

Rabu, 28 November 2012

Perasmian Penutupan Kump. 3 Siri 9 / 2012

Hari ini tepat pukul 7 pagi, upacara rasmi tamat latihan bagi Kumpulan 3 Siri 9 / 2012 telah dilangsungkan dengan penuh protokol di Padang Kawad Kem PLKN Mesapol Sipitang yang melibatkan seramai 126 orang pelatih. Bagi keseluruhan pelatih, hari ini merupakan hari yang dinanti-nantikan setelah berhempas pulas dalam setiap sesi latihan yang dilaksanakan.

Ketibaan Komandan

Pemeriksaan barisan

Ucapan perasmian oleh Komandan

Dalam upacara ini juga, pemenang dorm terbaik telah diumumkan dimana kompeni Alpha telah memenangi kedua-dua kategori Wira dan Wirawati. Selain itu, apa yang lebih membanggakan kompeni Alpha turut dinobatkan sebagai kompeni terbaik sekaligus mengalahkan pemenang tradisi kompeni Bravo yang telah menjuarai kategori tersebut selama 3 kumpulan berturut-turut.

Pemenang Dorm Terbaik Wira (kompeni Alpha)

Pemenang Dorm Terbaik Wirawati (kompeni Alpha)

Upacara melambung beri sebagai simbolik tamat latihan

Sebaik selepas penyampaian sijil, upacara ini diserikan lagi dengan persembahan Kawad Senyap, Tempur Tanpa Senjata dan Tarian Perang oleh pelatih.

Persembahan Kawad Senyap pimpinan cikgu Romzi & cikgu Lizan

Persembahan Tempur Tanpa Senjata pimpinan cikgu Ronnie

Persembahan Tarian Perang pimpinan cikgu Sharom dan cikgu Nizam

Seterusnya, pelatih dan jurulatih termasuk pihak pengurusan telah sama-sama menikmati minum pagi di Dewan Makan sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh beberapa orang pelatih.


Antara persembahan nyanyian yang menghiburkan warga dewan

Sebelum majlis bersurai, Komandan sempat menyampaikan amanat terakhir kepada pelatih agar segala ilmu yang diturunkan sepanjang sesi latihan ini dapat dimanfaatkan kelak.

Malam ini, semua warga kem akan berhibur untuk kali yang terakhir bagi kumpulan ini dalam majlis Malam Akrab. Ingin tahu apa yang menarik? Ikuti entri yang akan datang.

Khidmat Komuniti - Hari Sukarelawan

Isnin lepas bersamaan 26 November 2012, telah diadakan Hari Sukarelawan bertempat di Dewan Makan. Hari Sukarelawan yang didatangi oleh wakil RELA pejabat Sipitang dan Jabatan Pertahanan Awan (JPAM) Sipitang ini telah berlangsung seawal pukul 8.30 pagi. 

Wakil kedua-dua jabatan ini memberikan taklimat ringkas berkenaan badan sukarelawan yang diwakili masing-masing bagi menarik minat pelatih untuk menyertai pasukan sukarelawan tersebut. 



cikgu Mahat juga merupakan ahli pasukan sukarelawan RELA


Berikut adalah paparan sekitar taklimat dari pihak JPAM;


Antara jurulatih yang berminat untuk menyertai pasukan JPAM

Malam sebelumnya, pihak Komandan, Mejar Mohd Fadzil B. Hj Ngadiman telah terlebih dahulu menyampaikan taklimat berkenaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada jurulatih.




Tujuan utama pendedahan sebegini dilakukan kepada pelatih adalah selain menarik minat pelatih untuk menyertai badan sukarelawan yang terdapat di seluruh negara, ia juga mampu menetapkan hala tuju pelatih dalam bidang kerjaya yang mampu mendatangkan manfaat dan sumbangan kepada negara.

Isnin, 26 November 2012

Senam Perdana

Tepat pukul 6.00 pagi hari ini, aktiviti Senam Perdana telah diadakan di padang kawad Kem PLKN Mesapol yang melibatkan kehadiran Komandan dan seluruh warga kem termasuk pihak operator kem. Senam Perdana ini telah dikepalai oleh barisan jurulatih Fizikal.

Lihat paparan gambar-gambar di bawah;











Aktiviti sebegini bukan sahaja mampu menyihatkan tubuh badan malah mampu mengeratkan hubungan dikalangan warga kem disetiap peringkat. Diharap aktiviti ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Ahad, 25 November 2012

Wirajaya Kump 3 Siri 9/2012

Sepertimana lazimnya, semua teori yang telah diajar kepada pelatih akan diaplikasikan dalam aktiviti wirajaya yang dianggap aktiviti kemuncak bagi Latihan Khidmat Negara. Kem PLKN Mesapol telah melaksanakan aktiviti tersebut dengan jayanya pada 22 Nov 2012 baru-baru ini. Aktiviti wirajaya yang dilaksanakan berhampiran kawasan aktiviti kembara halangan ini telah dimulakan seawal 7.30 pagi.

Pelatih terlebih dahulu diberikan taklimat ringkas berkenaan perjalanan aktiviti yang mengambil masa 24 jam itu. Pelatih dilepaskan untuk mencari pangkalan menggunakan kompas mengikut bearing yang telah diberikan. Disinilah bermulanya aplikasi teori pembelajaran navigasi dan kompas dilakukan.

Sebaik tiba dipangkalan, pelatih diminta mendirikan khemah masing-masing. Tepat pukul 10.30 pagi, Misi Mencari Harta Karun dilaksanakan dimana pelatih diminta mencari ketulan emas yang telah disembunyikan. 




Misi kedua iaitu Misi Menyelamat dilaksanakan tepat pukul 3.00 petang dimana pelatih perlu mencari mangsa yang cedera dan mengaplikasikan teknik pertolongan cemas seperti yang telah diajar. Seterusnya, aktiviti Blind Walk dilaksanakan tepat pada pukul 4.00 petang.



Hujan yang turun pada petang itu sedikit pun tidak mematahkan semangat pelatih dari meneruskan aktiviti wirajaya pada kali ini. 



Malam itu, aktiviti Malam Kemuncak Kenegaraan disempurnakan di dewan makan yang dihadiri oleh Timbalan Komandan Latihan, Kapten Mohd Amin Bin Ahmad merangkap Pemangku Komandan. Terdapat 5 persembahan yang dipentaskan bagi menambat hati juri.




Malam itu juga, penyampaian hadiah telah disempurnakan bagi setiap aktiviti yang dilakukan pada hari tersebut.



Tepat pukul 10.30 malam, semua pelatih bergerak balik ke pangkalan untuk tidur. Walaupun berada dalam ketidakselesaan, namun aktiviti ini telah berjaya disempurnakan dengan baik tanpa sebarang masalah kecederaan. 

Pergerakan balik ke dorm adalah pada pukul 6.00 pagi dimana pelatih diminta membuat persiapan diri sebelum sarapan pagi. 

Rata-rata jurulatih berpuas hati dengan disiplin pelatih yang berada dalam kawalan yang baik. Setiap arahan dapat dipatuhi menyebabkan semua aktiviti berjalan lancar. Syabas untuk semua pelatih kumpulan 3!

Sabtu, 24 November 2012

Lawatan ke Pusat Kebudayaan Murut


Di akhir-akhir sesi latihan ini, memang banyak aktiviti menarik yang diadakan oleh pihak kem PLKN Mesapol. Sabtu baru-baru ini bersamaan 17 November 2012, semua pelatih telah dibawa melawat ke Pusat Kebudayaan Murut yang terletak di daerah Tenom. Perjalanan yang mengambil masa hampir 2 jam ini telah dimulakan seawal 5.45 pagi.

Lawatan yang diadakan dibawah pelaksanaan Modul Khidmat Komuniti ini turut disertai oleh Pegawai Penerangan Daerah Sipitang  En. Jemin Pangut, Timbalan Komandan Latihan Cik Puan Iira Ida Joanes dan barisan jurulatih yang lain.


Sebaik tiba di destinasi, semua peserta rombongan diberi taklimat ringkas oleh wakil pihak Pusat Kebudayaan Murut berkenaan sejarah ringkas dan sedikit pengetahuan am berkenaan dengan Pusat Kebudayaan Murut tersebut. Pihak rombongan difahamkan, bangunan Pusat Kebudayaan Murut itu dibina dengan menggunakan 145 tiang yang juga merupakan 100 peratus kayu belian. Ketahanan kayu belian ini dikatakan tidak kurang dari 100 tahun. Terdapat pelbagai corak seni ukiran kayu yang mempunyai maksud tersendiri dapat dilihat disekitar bangunan tersebut.


Selesai taklimat, pihak kem yang diwakili oleh Puan Cik Iira Ida Joanes telah menyampaikan cenderamata kepada pihak Pusat Kebudayaan Murut tersebut sebelum semua pelatih dibawa melawat sekitar kawasan.


Pelatih turut dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan suku kaum Murut dan tarian magunatip dimana pelatih dan jurulatih turut dijemput untuk menari bersama.






Bagi yang gemarkan hasil kraftangan, peluang untuk membawa pulang tanda kenangan yang dijual di koperasi pusat Kebudayaan tersebut memang tidak harus dilepaskan.


Sesi lawatan selesai kira-kira pukul 11.30 pagi yang diakhiri dengan sesi forografi beramai-ramai dihadapan pintu masuk bangunan Pusat Kebudayaan Murut.


Lawatan ke Muzium Sabah


Kepada mereka yang memberikan pandangan streotaip berkenaan latihan Khidmat Negara yang hanya bersifat ala tentera semata-mata, suka untuk pihak kami war-warkan bawaha perkara itu tidak benar sama sekali. Setiap kem mempunyai pengisian aktiviti menarik yang tersendiri. Sebagai contoh, Kem PLKN Mesapol telah membuat lawatan ke Muzium Sabah di Kota Kinabalu pada 13 November 2012 yang lepas. Lawatan ini antara lain bertujuan memberi pengetahuan umum berkenaan khazanah tinggalan Sabah.

Pergerakan dari kem ke destinasi dimulakan seawal jam 7.00 pagi dimana empat buah bas bergerak secara konvoi. Lawatan yang diketuai oleh Kapten Mohd Amin Bin Ahmad, Timbalan Komandan Pengurusan ini telah membuatkan pelatih berasa teruja.




Terdapat pelbagai artifak yang dipamerkan dan merupakan sesuatu yang baru pagi setiap rombongan lawatan. Pelatih juga sempat melawat kampung warisan yang terletak sekitar bangunan Muzium. Ada diantara pelatih yang mengambil kesempatan membeli hasil kraftangan yang dijual disitu untuk dibawa balik sebagai cendera kenangan.




Selain Muzium Sabah, pelatih turut dibawa melawat Muzium Tamadun Islam yang terletak tidak jauh dari situ. Terdapat maklumat berkenaan Islam dipamerkan disitu yang mampu memberi pengetahuan menarik kepada semua pengunjung.

Selesai sesi lawatan, pelatih dibawa ke Tanjung Lipat untuk menjamu hidangan makan tengahari yang telah siap dibungkus. Seterusnya, semua pelatih muslim menunaikan solat Zohor di Masjid Terapung Likas sebelum bergerak balik ke kem pada pukul 2 petang.



Lawatan sebegini sangat menarik untuk diteruskan bagi memberi pendedahan kepada pelatih selain mengelak rasa bosan yang mungkin dialami didalam kem.