Pengikut

Kem PLKN Mesapol on FaceBook

Ahad, 25 November 2012

Wirajaya Kump 3 Siri 9/2012

Sepertimana lazimnya, semua teori yang telah diajar kepada pelatih akan diaplikasikan dalam aktiviti wirajaya yang dianggap aktiviti kemuncak bagi Latihan Khidmat Negara. Kem PLKN Mesapol telah melaksanakan aktiviti tersebut dengan jayanya pada 22 Nov 2012 baru-baru ini. Aktiviti wirajaya yang dilaksanakan berhampiran kawasan aktiviti kembara halangan ini telah dimulakan seawal 7.30 pagi.

Pelatih terlebih dahulu diberikan taklimat ringkas berkenaan perjalanan aktiviti yang mengambil masa 24 jam itu. Pelatih dilepaskan untuk mencari pangkalan menggunakan kompas mengikut bearing yang telah diberikan. Disinilah bermulanya aplikasi teori pembelajaran navigasi dan kompas dilakukan.

Sebaik tiba dipangkalan, pelatih diminta mendirikan khemah masing-masing. Tepat pukul 10.30 pagi, Misi Mencari Harta Karun dilaksanakan dimana pelatih diminta mencari ketulan emas yang telah disembunyikan. 




Misi kedua iaitu Misi Menyelamat dilaksanakan tepat pukul 3.00 petang dimana pelatih perlu mencari mangsa yang cedera dan mengaplikasikan teknik pertolongan cemas seperti yang telah diajar. Seterusnya, aktiviti Blind Walk dilaksanakan tepat pada pukul 4.00 petang.



Hujan yang turun pada petang itu sedikit pun tidak mematahkan semangat pelatih dari meneruskan aktiviti wirajaya pada kali ini. 



Malam itu, aktiviti Malam Kemuncak Kenegaraan disempurnakan di dewan makan yang dihadiri oleh Timbalan Komandan Latihan, Kapten Mohd Amin Bin Ahmad merangkap Pemangku Komandan. Terdapat 5 persembahan yang dipentaskan bagi menambat hati juri.




Malam itu juga, penyampaian hadiah telah disempurnakan bagi setiap aktiviti yang dilakukan pada hari tersebut.



Tepat pukul 10.30 malam, semua pelatih bergerak balik ke pangkalan untuk tidur. Walaupun berada dalam ketidakselesaan, namun aktiviti ini telah berjaya disempurnakan dengan baik tanpa sebarang masalah kecederaan. 

Pergerakan balik ke dorm adalah pada pukul 6.00 pagi dimana pelatih diminta membuat persiapan diri sebelum sarapan pagi. 

Rata-rata jurulatih berpuas hati dengan disiplin pelatih yang berada dalam kawalan yang baik. Setiap arahan dapat dipatuhi menyebabkan semua aktiviti berjalan lancar. Syabas untuk semua pelatih kumpulan 3!

Sabtu, 24 November 2012

Lawatan ke Pusat Kebudayaan Murut


Di akhir-akhir sesi latihan ini, memang banyak aktiviti menarik yang diadakan oleh pihak kem PLKN Mesapol. Sabtu baru-baru ini bersamaan 17 November 2012, semua pelatih telah dibawa melawat ke Pusat Kebudayaan Murut yang terletak di daerah Tenom. Perjalanan yang mengambil masa hampir 2 jam ini telah dimulakan seawal 5.45 pagi.

Lawatan yang diadakan dibawah pelaksanaan Modul Khidmat Komuniti ini turut disertai oleh Pegawai Penerangan Daerah Sipitang  En. Jemin Pangut, Timbalan Komandan Latihan Cik Puan Iira Ida Joanes dan barisan jurulatih yang lain.


Sebaik tiba di destinasi, semua peserta rombongan diberi taklimat ringkas oleh wakil pihak Pusat Kebudayaan Murut berkenaan sejarah ringkas dan sedikit pengetahuan am berkenaan dengan Pusat Kebudayaan Murut tersebut. Pihak rombongan difahamkan, bangunan Pusat Kebudayaan Murut itu dibina dengan menggunakan 145 tiang yang juga merupakan 100 peratus kayu belian. Ketahanan kayu belian ini dikatakan tidak kurang dari 100 tahun. Terdapat pelbagai corak seni ukiran kayu yang mempunyai maksud tersendiri dapat dilihat disekitar bangunan tersebut.


Selesai taklimat, pihak kem yang diwakili oleh Puan Cik Iira Ida Joanes telah menyampaikan cenderamata kepada pihak Pusat Kebudayaan Murut tersebut sebelum semua pelatih dibawa melawat sekitar kawasan.


Pelatih turut dihiburkan dengan persembahan tarian kebudayaan suku kaum Murut dan tarian magunatip dimana pelatih dan jurulatih turut dijemput untuk menari bersama.






Bagi yang gemarkan hasil kraftangan, peluang untuk membawa pulang tanda kenangan yang dijual di koperasi pusat Kebudayaan tersebut memang tidak harus dilepaskan.


Sesi lawatan selesai kira-kira pukul 11.30 pagi yang diakhiri dengan sesi forografi beramai-ramai dihadapan pintu masuk bangunan Pusat Kebudayaan Murut.


Lawatan ke Muzium Sabah


Kepada mereka yang memberikan pandangan streotaip berkenaan latihan Khidmat Negara yang hanya bersifat ala tentera semata-mata, suka untuk pihak kami war-warkan bawaha perkara itu tidak benar sama sekali. Setiap kem mempunyai pengisian aktiviti menarik yang tersendiri. Sebagai contoh, Kem PLKN Mesapol telah membuat lawatan ke Muzium Sabah di Kota Kinabalu pada 13 November 2012 yang lepas. Lawatan ini antara lain bertujuan memberi pengetahuan umum berkenaan khazanah tinggalan Sabah.

Pergerakan dari kem ke destinasi dimulakan seawal jam 7.00 pagi dimana empat buah bas bergerak secara konvoi. Lawatan yang diketuai oleh Kapten Mohd Amin Bin Ahmad, Timbalan Komandan Pengurusan ini telah membuatkan pelatih berasa teruja.




Terdapat pelbagai artifak yang dipamerkan dan merupakan sesuatu yang baru pagi setiap rombongan lawatan. Pelatih juga sempat melawat kampung warisan yang terletak sekitar bangunan Muzium. Ada diantara pelatih yang mengambil kesempatan membeli hasil kraftangan yang dijual disitu untuk dibawa balik sebagai cendera kenangan.




Selain Muzium Sabah, pelatih turut dibawa melawat Muzium Tamadun Islam yang terletak tidak jauh dari situ. Terdapat maklumat berkenaan Islam dipamerkan disitu yang mampu memberi pengetahuan menarik kepada semua pengunjung.

Selesai sesi lawatan, pelatih dibawa ke Tanjung Lipat untuk menjamu hidangan makan tengahari yang telah siap dibungkus. Seterusnya, semua pelatih muslim menunaikan solat Zohor di Masjid Terapung Likas sebelum bergerak balik ke kem pada pukul 2 petang.



Lawatan sebegini sangat menarik untuk diteruskan bagi memberi pendedahan kepada pelatih selain mengelak rasa bosan yang mungkin dialami didalam kem.