25 Mei yang lepas, bertempat di Kem PLKN Tanaki Tambunan telah berlangsung Karnival Sukan antara kem Peringkat Zon H yang melibatkan semua kem di seluruh negeri Sabah iaitu Kem PLKN Tanaki Tambunan, Kem PLKN Wawasan Papar, Kem PLKN Sinar Jaya Kota Belud, Kem PLKN KK Di Bawah Bayu Tuaran dan Kem PLKN Mesapol Sipitang.
Kem PLKN Tanaki yang menjadi tuan rumah untuk Karnival Sukan pada kali ini telah mempertandingkan beberapa kategori sukan iaitu, Bola Tampar kategori wira dan wirawati, Bola Jaring kategori wirawati sahaja dan sepak takraw kategori wira sahaja.
Karnival Sukan ini telah berlangsung pada 11hb Mei yang lepas manakala acara kemuncak telah dilangsungkan pada 25hb Mei baru-baru ini. Pergerakan pemain wakil Kem PLKN Mesapol seawal 4 pagi diiringi barisan jurulatih serta pasukan sorak membawa harapan yang besar untuk menaikkan nama kem PLKN Mesapol dimata semua.
Setibanya di Kem PLKN Tanaki, pemain terlebih dahulu bersiap sedia dengan aktiviti pemanasan badan sebelum memulakan perlawanan. Sebaik perlawanan dimulakan, riuh rendah laungan pasukan sorak berjaya menaikkan semangat pemain dan mendapat perhatian dari penonton yang turun hadir pada ketika itu.
Semua perlawanan tamat pada jam 1.00 tengahari dimana semua hadirin dijemput menjamu selera di dewan makan Kem PLKN Tanaki.
Pada pukul 2.00 petang, tibalah acara yang ditunggu-tunggu oleh semua dimana upacara perasmian penutupan telah diadakan. Dalam majlis sederhana tapi penuh meriah itu, kem PLKN Mesapol telah mencatat kemenangan bagi setiap kategori yang dipertandingkan iaitu, tempat ketiga bagi acara bola jaring, naib johan bagi acara bola tampar wirawati, johan bagi acara bola tampar wira dan sepak takraw. Keputusan bagi setiap perlawanan ini sekaligus telah menjadikan Kem PLKN Mesapol sebagai Juara Keseluruhan Karnival Sukan antara Kem Peringkat Zon H.
Suasana dewan bergema dengan sorakan bagi menyambut kemenangan tersebut. Usaha barisan jurulatih yang tidak henti-henti melatih dan membimbing pemain nampaknya tidak sia-sia.
Ternyata berita gembira tersebut telah tersebar cepat ke pengetahuan pelatih-pelatih di Kem PLKN Mesapol yang tidak dapat turut serta menyaksikan perlawanan apabila kontinjen tiba di Kem pada pukul 7.45 malam dan disambut dengan sorakan gemuruh oleh semua. Tahniah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan